Yayasan Chow Kit

0
401
Anak-anak YCK sedang menjalankan aktiviti seni (Foto kredit YCK)

Bagi kebanyakan anak miskin bandar yang tinggal di kawasan Chow Kit di sini, Pusat Aktiviti Kanak-kanak (PAKK) adalah ‘rumah’ mereka.

PAKK yang terletak di bawah naungan Yayasan Chow Kit (YCK) adalah satu-satunya tempat mereka boleh belajar, bermain serta bergaul dengan kawan dalam persekitaran yang selamat.

Memandangkan kawasan tempat tinggal mereka dikelilingi jalan raya dan bangunan, anak-anak ini tidak boleh melakukan banyak kegiatan­ sebaik sahaja habis waktu sekolah.

Dengan keadaan ekonomi keluarga yang tidak mengizinkan, ibu bapa mereka tidak mampu untuk menghantar mereka ke kelas tambahan atau program lepas waktu sekolah.

YCK bermula sebagai pusat haria­n yang dikendalikan kerajaan dan kemudiannya ditukar kepada pusat krisis serta persinggahan 24 jam dipanggil Nur Salam.

Pusat ini menyediakan kemudahan asas, kegiatan serta perkhidmatan­ sosial untuk kanak-kanak sekitar Chow Kit yang mudah terdedah kepada risiko di bawah Yayasan Salam.

YCK ditubuhkan pada Januari­ 2011 dengan wawasan untuk memperbaiki kehidupan kanak serta golongan belia di kawasan berkenaan.­

Pada masa ini YCK mengendalikan empat pusat iaitu Taska Baitul Amal untuk bayi dan kanak-kanak sehingga berumur empat tahun, PAKK untuk kanak-kanak lima hingga 12 tahun, Kuala Lumpur KrashPad untuk yang berumur antara 13 hingga 18 tahun serta Pusat Jagaan Baitul Amal bagi kes-kes yang memerlukan perhatian khas.

Foto kredit oleh YCK.

Pengasas YCK, Dr. Hartini Zainuddin berkata, pihaknya perlu berdamping rapat dengan kanak-kanak untuk memahami keadaan mereka dengan lebih baik dan mewujudkan program yang bersesuaian dengan keperluan mereka.

“Sering kali kita mengasingkan kanak-kanak atas sebab sosio-ekonomi. Sekarang adalah masa terbaik untuk merapatkan jurang ini,” tambahnya.

Sehubungan dengan itu, PAKK telah mengenal pasti beberapa perkara yang perlu ditangani termasuk pendidikan kanak-kanak di samping menganjurkan kegiatan di dalam dan luar PAKK.

Di samping kelas tambahan, PAKK mengendalikan perkhidmatan sokongan untuk kanak-kanak dan golongan belia, khemah motivasi dan lawatan pembelajaran.

PAKK turut mengadakan perkhidmatan­ khusus untuk keluarga yang mempunyai anak yang dilanda krisis.

Muhammad Abdul Aziz Nurmin, 21, yang pernah mendapatkan perkhidmatan di YCK berkongsi cerita bagaimana pusat itu membentuk dirinya.

“Dahulu saya hanya menghabiskan masa di pusat internet sehinggalah­ pada suatu hari adik saya perkenalkan KrashPad.

“Saya mula jatuh hati dengan apa yang YCK buat. Setiap hari saya datang. Daripada tidak kenal orang sampai rapat jadi satu keluarga,” katanya yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik.

Di samping membantu pelajarannya, program yang dianjurkan oleh YCK juga membangun kualiti dirinya termasuk meningkatkan keyakinan diri dan memberi peluang­ berkhidmat untuk masyarakat.

(Foto Kredit oleh YCK)

Aziz, yang kini bekerja dengan YCK sebagai penyelaras program berkata, pengalaman menyertai pelbagai jenis perkhemahan anjuran YCK banyak membantu dirinya­ dalam mengendalikan program­ berkenaan.

“Di sekolah kita cerita tentang belajar. Di YCK kita bincang tentang kehidupan. Memang masyarakat masih memandang rendah terhadap kami yang datang dari Chow Kit tapi bagi kami itulah cabarannya. Kami mahu membuktikan bahawa anak-anak Chow Kit juga boleh berjaya,” katanya. – BERNAMA

SUMBER: http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/yck-beri-harapan-baharu-kepada-8232-anak-anak-miskin-bandar-di-chow-kit-1.118763#ixzz5WQYhHG4U