Taman Rekreasi Tasik Ampang Hilir

0
793
Suasana nyaman dan tenang di sekitar tasik.

Taman Tasik Ampang Hilir yang terletak bersebelahan dengan lebuhraya MRR2 sememangnya memberi alternatif kepada warga Titiwangsa dan sekitarnya untuk beriadah dan bersiar-siar bersama keluarga.

Pintu masuk ke taman.

Udara yang nyaman, lanskap yang menghijau menjadikan taman ini sangat sesuai bagi penduduk kota yang ingin melepaskan lelah selepas sehari-suntuk bekerja.

Tempat permainan kanak-kanak di sudut taman.

Selain daripada tasik yang mendamaikan mata memandang, ia turut menyediakan pelbagai kemudahan untuk kegunaan pengunjung. Antaranya surau, tandas, gerai, kawasan permainan kanak-kanak, bangku duduk serta peralatan senaman individu.

Kafe Kudap-Kudap.

Kafe Kudap-Kudap iaitu sebuah kafe makan yang terletak di dalam taman rekreasi ini sangat popular di kalangan pengunjung. Pelbagai menu sarapan ala kampung yang menyelerakan seperti lempeng kelapa, lempeng pisang, nasi lemak, mee-hoon goreng, cucur, laksa, mee kari, ubi kayu rebus boleh didapati di kafe ini

Taman Tasik Ampang Hilir ini meliputi kawasan seluas kira-kira 16 hektar termasuk tasik yang berkeluasan 12 hektar. Di pinggir tasik ini juga terletaknya sebuah Dewan Serbaguna yang dikendalikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjadi destinasi popular untuk mengadakan majlis kenduri kahwin oleh penduduk berdekatan.

Bagaimanapun, anda perlu membuat tempahan untuk kenduri kahwin, kalau boleh, buatlah tempahan setahun lebih awal kerana dewan ini selalunya sentiasa penuh di-booking.

Pemandangan mercu-tanda ibukota yang indah dari pinggir tasik.

Taman rekreasi ini juga sangat popular di kalangan kaki joran. Setiap tahun akan ada acara pertandingan memancing yang berlangsung di sini.

Taman Tasik Ampang Hilir mempunyai keunikan tersendiri buat kaki joran kerana banyak spesies ikan terbaik termasuk tongsan, rhu dan toman bersaiz 8 sehingga 15 kilogram menanti!