Balai Seni Visual Negara

0
563
Lukisan Cat Minyak ” Memetik Daun Tembakau Di Kelantan” (Karya Mohammad Hoessein Enas, 1962)

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Balai Seni Lukis Negara yang terletak di Jalan Tun Razak telah ditukar namanya kepada Balai Seni Visual Negara (BSVN). Ia ditubuhkan pada tahun 1958 dengan nama Balai Seni Lukis Negara di atas gagasan Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Balai Seni Visual Negara

BSVN merupakan antara muzium seni yang terawal dibina di Asia Tenggara dan sangat dikenali di rantau ini yang bukan sahaja mempamerkan karya-karya seni moden dan kontemporari artis Malaysia dan Asia Tenggara malah artis antarabangsa.

Penubuhan BSLN atau BSVN ini merangkumi beberapa perkara penting iaitu untuk memunya karya sebagai Himpunan Tetap Warisan Seni Visual Negara, memulihara, memelihara dan mendokumentasikan serta untuk tujuan penyelidikan demi satu matlamat iaitu sebagai koleksi sejarah yang bersifat kolektif iaitu Himpunan Tetap Warisan Seni Visual Negara.

Selain daripada itu, BSVN juga memain peranan untuk mempromosi dan meningkatkan mutu seni visual negara menerusi pelbagai aktiviti seperti menganjurkan pameran, bengkel, pertandingan dan pelbagai lagi aktiviti rentas budaya, baik dalam dan luar negara.

Sesungguhnya penubuhan BSVN juga merupakan satu pengiktirafan kerajaan terhadap bidang seni visual tanah air. BSVN kini mempunyai koleksi terbesar seni moden dan seni kontemporari Malaysia. Setiap tahun BSVN menganjurkan lebih daripada 20 pameran.

Di antara lukisan yang pernah dipamerkan di galeri 3B, BSVN.

Sejak ditubuhkan, BSVN pernah dinaungi oleh beberapa Kementerian. Antaranya, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pelancongan, Kementerian Perpaduan, Kesenian dan Warisan, dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, dan Warisan.