SK Desa Pandan -Sekolah Amanah Yayasan Amir

0
322

Sekolah Kebangsaan Desa Pandan adalah terletak di bawah Program Sekolah Amanah yang dimulakan oleh Kementerian Pendidikan bagi menjalankan program transformasi dalam persekitaran pembelajaran di sekolah awam melalui kerjasama bijak antara sektor awam dan swasta. Setakat ini, Yayasan AMIR merupakan satu-satunya penaja sulung Program Sekolah Amanah dan melantik LeapEd Services Sdn Bhd (LeapEd Services), sebuah penyedia perkhidmatan pendidikan tempatan yang diasaskan di Malaysia.

Sekolah Amanah akan mempunyai lebih autonomi dalam membuat keputusan berkaitan kurikulum, kewangan dan sumber manusia bagi menggalak inovasi dan menjadi lebih responsive terhadap keperluan komuniti sekolah. Autonomi yang diberi merangkumi kebebasan memilih kandungan kurikulum, pengagihan peruntukan mengikut keperluan, penyediaan insentif berasaskan prestasi dan pemilihan guru dan kakitangan bukan guru.

Sekolah Amanah dikehendaki mencapai prestasi yang telah ditetapkan dalam tempoh lima tahun. Pihak KPM akan mengambil alih pengurusan dari penajasekiranya sekolah gagal mencapai prestasi yang ditetapkan.

Setiap Sekolah Amanah Yayasan AMIR dibantu sepasukan Rakan Pendidik yang berganding bahu dengan kakitangan sekolah untuk menambah baik amalan kepimpinan dan juga kemahiran pengajaran. Sementara itu, Pengerusi LeapEd Services, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak berkata, program itu dirangka dengan tumpuan mengubah peranan guru dalam bilik darjah dan mentakrif semula konsep kerja rumah dan aktiviti bilik darjah.